Football

Piala Malaysia: Perak tidak gentar lawan JDT

Ketua jurulatih Perak, Vjeran Simunic berkata pasukannya sudah bersedia untuk berhadapan dengan juara Piala AFC 2015, Johor Darul Ta’zim (JDT) malah percaya Bos Gaurus mampu melakukan kejutan terhadap pasukan Harimau Selatan itu di Ipoh, malam ini.

Sarawak yang hanya mampu seri 2-2 dengan ATM semalam membuka ruang untuk Perak merapatkan jurang mata namun berhadapan dengan JDT bukanlah perkara yang mudah lebih-lebih lagi selepas mereka menjuarai Piala AFC, salah satu piala berprestij di Asia.

Namun Vjeran Simunic tidak berasa gentar dengan status pihak lawannya malah yakin para pemainnya bersedia untuk mempamerkan persembahan bertenaga pada malam ini.

“Saya percaya semua pemain Perak sudah bersedia untuk perlawanan ini. Saya menghormati JDT kerana mereka adalah satu pasukan yang bagus.

“Saya mahu ucap tahniah di atas kejayaan mereka di pentas Asia. Saya tumpang gembira.

“Tapi Perak ketika ini sangat memerlukan kemenangan jadi kami perlu menggunakan kelebihan beraksi di halaman sendiri dengan sepenuhnya kerana memperoleh tiga mata adalah sangat penting buat kami,” katanya kepada Arena Metro semalam.

 

Perak perlu mengambil kesempatan dalam perlawanan malam ini kerana JDT akan turun tanpa Luciano Figueroa dan Gary Steven Robbat yang mengalami kecederaan manakala Marcos Antonio pula pulang ke Brazil untuk sementara waktu atas urusan peribadi.

Memandangkan perlawanan di antara Perak dan JDT sentiasa menimbulkan kekecohan setiap kali kedua-dua belah penyokong bertemu, pihak polis Perak akan membuat kawalan ketat terhadap penonton yang masuk ke stadium, segala jenis bahan larangan akan dirampas, malah melarang kedua-dua pasukan membawa sebarang peralatan bunyian termasuk gendang dan sepanduk ke dalam stadium.

Other posts by