Pemain berusia 28 tahun itu berkata kesemua pemain JDT tampak bersemangat dan mahu melakukan yang terbaik malah menganggap Harimau Selatan mampu melakukan kejutan terhadap pasukan FC Istiklol di Dushanbe, esok.

Katanya, JDT sudah pun membuktikan kemampuan mereka di peringkat domestik dengan menjuarai Liga Super selama dua musim berturut-turut, kini tiba masanya untuk mereka buktikan yang JDT juga mampu bersaing dalam peringkat yang lebih tinggi dari sebelum ini.

“Bagi saya, mara ke final sebenarnya adalah satu bonus kerana sasaran awal kami adalah untuk pergi sejauh yang boleh.

“Ia adalah peluang yang mungkin hadir sekali seumur hidup, jadi alang-alang sudah menjejakkan kaki di pentas akhir, kami tidak boleh sia-siakannya. Kami mahu mencipta sejarah baru di sini.

“Malah sepanjang sesi latihan, saya dapat lihat kesungguhan dan semangat juang yang dipamerkan oleh rakan-rakan sepasukan. Ini me­nunjukkan bahawa semua pemain mahukan kejayaan di perlawanan akhir nanti.

“Saya fikir kelebihan ada pada pihak lawan kerana mereka bermain di tempat sendiri, namun harus diingat bahawa perlawanan kali ini adalah perlawanan akhir. Jika JDT tidak tertekan dan memberikan fokus sepenuhnya kepada perlawanan, tidak mustahil kami mampu melakukan sesuatu,” kata Aidil ketika dihubungi Utusan Malaysia di Dus­hanbe, semalam.