Sergio Batista yang berasal dari Argentina sedang mengendalikan pasukan kebangsaan Bahrain ketika ini. Beliau pernah mengendalikan pasukan kebangsaan Argentina selama setahun, malah pernah menjadi jurulatih pasukan Shanghai Shenhua di Liga Super China selama tiga tahun. Karier terbaiknya sepanjang menjadi jurulatih adalah memenangi pingat emas Olimpik Beijing 2008 bersama-sama dengan pasukan Argentina Bawah-20.

Alexandre Guimaraes pula merupakan jurulatih yang berasal dari Costa Rica. Karier terbaiknya sepanjang menjadi jurulatih adalah ketika berjaya membim­bing pasukan Costa Rica layak ke Piala Dunia 2002 dan 2006. Kali terakhir beliau menjadi jurulatih adalah pada tahun 2013 bersama-sama dengan pasukan dari Liga Super China, Tianjin Teda.

Marc Brys yang berasal dari Belgium hanya pernah menjadi jurulatih di peringkat kelab, di Liga Belgium, Liga Belanda dan Liga Pro Arab Saudi di mana ketika ini beliau mengendalikan pasukan Al-Raed. Carlos Ischia juga hanya pernah menjadi jurulatih di Liga Argentina di mana beliau pernah menjadi juara bersama-sama dengan pasukan Boca Juniors pada tahun 2007. Manakala jurulatih muda Bernardo Tavares hanya sekadar menjadi jurulatih di Liga Portugal dan ketika ini mengendalikan pasukan Al-Nahda dari Liga Pro Oman.

Tetapi Jose Peseiro dari Portugal mempunyai kredibiliti yang tinggi kerana pernah menjadi penolong jurulatih kepada Carlos Queiroz yang membimbing pasukan Real Madrid, jurulatih pasukan Sporting CP dan Braga. Beliau juga pernah menjadi jurulatih di Timur Tengah, antaranya pasukan Al-Hilal, Al-Wahda, Al-Ahly SC dan tidak ketinggalan pasukan kebangsaan Arab Saudi.

Ejen itu turut mendedahkan bahawa bekas jurulatih Si­ngapura dan Myanmar, Radojko Avramovic sebenarnya berminat untuk membimbing pasukan negara meskipun pernah membuat penafian sebelum ini.