Football

Hanya FAM boleh tentukan wang hak penyiaran – Kevin Ramalingam

Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia LLP (FMLLP) Kevin Ramalingam berkata FMLLP tidak mempunyai kuasa dalam menentukan jumlah wang yang dijana menerusi kerjasama di antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Media Partners & Silva (MP & Silva).

Ini susulan daripada dakwaan Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengatakan FAM tidak membahagikan wang hak penyiaran dengan sama rata tetapi perkara ini kemudiannya disangkal oleh Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mengenai pembahagian wang kepada pasukan-pasukan Liga Malaysia menerusi satu kenyataan rasmi yang dibuat semalam.

Kevin berkata FMLLP akan menjelaskan perkara ini dengan lebih terperinci supaya tidak berlaku sebarang kekeliruan pada masa-masa akan datang.

“Hanya EXCO FAM yang mempunyai kuasa untuk menentukannya. Tetapi mereka perlu capai kata sepakat untuk selesaikan perkara ini.

“Sekretariat atau pengurusan FMLLP yang saya uruskan ini tidak boleh mengubah jumlah peratusannya. Tiada apa yang kami nak sorok. Saya akan pastikan FMLLP dijalankan dengan telus dan lancar.

“FMLLP akan mengadakan bengkel khas pada bulan depan, terutamanya kepada pasukan-pasukan negeri dan kelab yang terlibat supaya mereka jelas dengan isu ini,” katanya kepada Bernama.

MP & Silva bakal menyalurkan RM70 juta setahun kepada FMLLP bagi tempoh 2016-2021, RM85 juta setahun dari 2022-2024, RM92 juta dari 2025-2027 dan RM103 juta dari 2028-2030.

Daripada keuntungan RM70 juta bagi fasa pertama, FAM akan mendapat 40 peratus daripadanya, pasukan-pasukan yang bertanding akan mendapat 30 peratus, pembangunan akar umbi dan pengadil akan mendapat 10 peratus manakala untuk 20 peratus lagi digunakan untuk mengendalikan Liga Malaysia.

Other posts by