Football

FIFA, tolong siasat FAM! – TMJ

Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu Gabungan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyiasat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) setelah gagal dalam menangani masalah rasuah dan pembahagian wang hak penyiaran dengan sama rata.

Tunku Ismail atau lebih dikenali sebagai Tengku Mahkota Johor (TMJ) mendakwa FAM bersalah dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kedudukan FIFA yang paling teruk pernah dicatatkan oleh Malaysia setelah jatuh di tangga ke-171 susulan kekalahan 10-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada bulan yang lalu.

Beberapa masalah yang sering menimpa bola sepak Malaysia sehingga hampir tiada sebarang perubahan yang positif menyebabkan beliau mahu FIFA menyiasat apa yang sebenarnya berlaku di FAM.

“Mungkin FIFA perlu menyiasat mereka semua kerana apa yang berlaku ketika ini adalah sangat merisaukan.

“Tiada siapa yang berminat untuk maju ke hadapan mahupun membawa bola sepak kita ke satu tahap yang lebih tinggi sebaliknya mereka hanya berminat dengan jawatan dan membuat hal masing-masing. Kebanyakan pasukan di Malaysia di kendalikan oleh ahli politik dan semuanya hanya mahu berada dalam kedudukan yang selesa.

“Sikap tidak ambil peduli akan membawa kepada bencana. Kalau kita tidak peduli dan tidak berminat untuk membetulkan keadaan, sampai bila-bila kita akan jadi macam ini,” katanya kepada Reuters.

Beliau juga berkata ketika ini perbincangan sedang dijalankan di antara pasukan-pasukan liga, MP & Silva dan FAM berkenaan dengan pembahagian wang hak penyiaran untuk setiap pasukan namun tidak berpuas hati dengan cadangan yang dibuat ketika ini.

“Sepatutnya, setiap pasukan dalam liga di mana-mana negara akan mendapat 90 hingga 95 peratus hak penyiaran dan ini boleh membantu pasukan dari segi pembangunan akar umbi, membangunkan prasarana sendiri dan meningkatkan kualiti pasukan.

“Masalahnya FAM hanya memberikan 22 peratus kepada setiap pasukan, maknanya 1 juta sahaja, manakala FAM pula dapat 47 juta. Apa yang FAM buat sebenarnya adalah mencuri duit pasukan dan semua orang perlu tahu perkara ini. Ianya salah.

“Kalau presiden FAM dan semua ahli-ahlinya benar-benar ikhlas dan berniat baik untuk memajukan bola sepak Malaysia, mereka sepatutnya melakukan sesuatu. Kalau tidak, saya rasa mereka tidak patut berada di FAM kerana mereka telah memberikan imej yang buruk kepada negara,”katanya.

Other posts by