Football

PM dan Menteri KBS bantu bayar gaji pemain Kelantan

Tan Sri Annuar Musa mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kerana sudi membantu dalam menyelesaikan masalah kewangan pasukan Kelantan.

Ini berikutan masalah kewangan yang dihadapi The Red Warriors ketika ini setelah beliau mendedahkan gaji pemain pasukan Kelantan masih belum dibayar sejak bulan Ogos yang lalu.

Dalam laman Facebook rasminya, beliau berkata terdapat beberapa perubahan yang akan dilakukan terhadap pasukan Pantai Timur itu pada musim hadapan.

“KAFA ketika ini sedang meneliti posisi penting yang bakal diisi oleh pemain asing dan tempatan.

“KAFA juga sedang berusaha untuk mengurangkan kos dan bajet kepada satu jumlah yang sesuai mengikut kemampuan kita sahaja.

“Saya ucapkan terima kasih kepada YAB PM dan YB Menteri KBS yang telah sudi menerima rayuan saya dan membantu bolasepak Kelantan,” katanya melalui laman Facebooknya kelmarin.

Beliau juga berkata separuh dari pasukan akan kekal kerana masih mempunyai kontrak untuk musim hadapan.

Manakala untuk pemain yang bakal menamatkan kontraknya musim ini tetapi telah bermain dengan baik sudah pun diberikan tawaran kontrak baru malah terdapat beberapa pemain muda telah menandatangani kontrak untuk saingan musim hadapan.

Sebelum ini, KAFA telah membelanjakan sebanyak RM11 juta sejak November tahun lalu sehingga Ogos tahun ini. Namun Kelantan dilaporkan sudah kehabisan dana sedangkan musim 2015 masih lagi belum berakhir. Ini berbeza dengan tahun 2014 di mana mereka hanya membelanjakan sebanyak RM8 juta untuk semusim dan tidak mempunyai sebarang masalah yang besar untuk membayar gaji para pemain.

KAFA turut mendakwa masalah kewangan pasukan berlaku akibat kekurangan jumlah penonton di stadium sejak pada bulan April lagi sehingga menyebabkan kurangnya pendapatan bulanan melalui penjualan tiket.

Other posts by