Football

Saya mahu jaminan keselamatan untuk perlawanan Palestin – OKS

Jurulatih sementara pasukan senior Malaysia, Ong Kim Swee menyeru Kementerian Luar Negeri dan Gabungan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) supaya memberikan jaminan bahawa Tebing Barat selamat untuk diadakan perlawanan bola sepak antarabangsa.

Ini kerana pasukan Malaysia akan menghadapi saingan kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Palestin pada 12 November depan yang bakal diadakan di Stadium Antarabangsa Dora yang terletak di bandar Hebron, bandar yang terbesar di Tebing Barat, wilayah Palestin.

Ong berkata soal keselamatan sangat penting untuk pasukan negara dan beliau seboleh-bolehnya mahukan perlawanan itu diadakan di padang neutral.

“Mengikut jadual yang telah disediakan, perlawanan kita selepas ini akan diadakan di Palestin. Jadi soal keselamatan menjadi satu keutamaan. Kami perlukan jaminan dari pihak FIFA secepat mungkin.

“Malah saya difahamkan perlawanan di antara Arab Saudi dan Palestin tidak diadakan di Palestin sendiri tetapi diadakan di Jordan.

“Semua ini melibatkan soal keselamatan para pemain, jurulatih dan pihak yang terbabit dalam perlawanan tersebut,”katanya kepada Bernama sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Hebron merupakan bandar terbesar di Tebing Barat, dan kedua terbesar selepas Gaza. Bandar tersebut terletak kira-kira 30km di selatan Jerusalem.

Bandar tersebut terbahagi kepada dua sektor, di mana H1 ditadbir di bawah pihak berkuasa Palestin manakala H2 yang meliputi 20 peratus bandar tersebut dikendalikan di bawah pihak berkuasa Israel, satu penempatan Yahudi yang dianggap sebagai haram dan dikecam oleh pihak komuniti antarabangsa.

Hebron juga terkenal dengan konflik di antara penduduk Palestin dan pihak berkuasa Israel di mana menurut Human Rights Watch, kawasan Hebron sering menjadi mangsa tembakan rambang oleh tentera Israel yang membawa kepada banyak kemalangan jiwa.

Other posts by