Football

Kemenangan bermakna buat Harimau Malaya

Pasukan kebangsaan Malaysia akhirnya berjaya meraih kemenangan pertama pada tahun ini apabila menewaskan Laos 3-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Thai Army Sports, Bangkok semalam.

Kemenangan itu sedikit sebanyak akan membantu meningkatkan moral setiap pemain dikala mengharungi detik-detik sukar setelah gagal meraih sebarang kemenangan selama hampir 10 bulan.

Ong Kim Swee menganggap ianya merupakan satu keputusan yang baik buat pasukan negara dan percaya para pemainnya telah mencuba sedaya upaya untuk mendapatkan kemenangan pertama yang dinanti-nantikan selama ini.

“Satu kemenangan yang bagus untuk pasukan yang belum pernah menang dalam mana-mana perlawanan pada tahun ini.

“Dengan keputusan ini sekurang-kurangnya dapat memberikan keyakinan kembali kepada pemain untuk menghadapi Timor Leste nanti.

“Saya harap mereka dapat mengekalkan corak permainan berdisiplin kerana pihak lawan selepas ini bukan sembarangan kerana mereka berjaya mencatat keputusan seri 1-1 ketika menentang Palestin,” kata Kim Swee kepada Utusan Malaysia, semalam.

Perlawanan semalam menyaksikan Malaysia menewaskan Laos menerusi Christie Jayaseelan yang menjaringkan dua gol pada minit ke-50 dan minit ke-92, manakala satu lagi dijaringkan oleh Azammuddin Akil  pada minit ke-53.

Harimau Malaya sepatutnya mampu mendapatkan empat gol apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-91, namun sepakan yang diambil oleh Safee Sali tersasar daripada gawang gol.

Laos pula sekadar meraih gol saguhati menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Sitthideth Khanthavong pada minit ke-82.

Sementara it, Razman Roslan akan menyertai pasukan kebangsaan bagi menggantikan Fadhli Shas yang mengalami kecederaan buku lali ketika menentang Laos.

Malaysia akan meneruskan baki saingan kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Timor Leste di Dili, pada 13 Oktober ini.

Other posts by