Football

Bekas jurulatih Kedah FA Azman Eusoff meninggal dunia

Arena bola sepak Malaysia dikejutkan dengan pemergian jurulatih yang dikenali ramai, Azman Eusoff yang telah menghembuskan nafas terakhirnya akibat jangkitan kuman pada paru-paru awal pagi ini di Hospital KPJ Penang Specialist Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Allahyarham yang berusia 51 tahun itu meninggalkan seorang isteri dan lima anak dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Timah, selepas solat zuhur hari ini.

Bersama-sama Norizan Bakar di Felcra FC. Photo: Facebook Azman Eusoff
Bersama-sama Norizan Bakar di Felcra FC. Photo: Facebook Azman Eusoff

Allahyarham memulakan kariernya sebagai jurulatih pada tahun 1990 dengan pasukan Kedah dan berkhidmat untuk pasukan Helang Merah itu selama 10 tahun di mana tugasnya bermula sebagai jurulatih Bawah 21, kemudiannya dinaikkan sebagai penolong jurulatih pasukan dan akhirnya sebagai ketua jurulatih.

Allahyarham kemudiannya menjadi jurulatih untuk beberapa pasukan sejak tahun 2002 termasuk pasukan Brunei DPMM FC pada tahun 2002 selama dua tahun, jurulatih kepada pasukan Proton FC pada 2004, jurulatih kepada TNB Kelantan pada tahun 2005, pengarah eksekutif Arsenal Soccer School Malaysia pada tahun 2006, ketua jurulatih Majlis Sukan Universiti Malaysia pada 2008 dan ketua jurulatih Universiti Utara Malaysia pada tahun 2009 dan 2011.

Allahyarham juga pernah menjadi penolong jurulatih pasukan Harimau Muda A pada tahun 2010 yang ketika itu berada dibawah kendalian Azraai Khor Abdullah.

Allahyarham sering muncul di kaca televisyen. Photo: Facebook NazrieFahmie
Allahyarham sering muncul di kaca televisyen. Photo: Facebook NazrieFahmie

Bermula tahun 2012, Allahyarham menjadi jurulatih pasukan UiTM selama dua tahun sebelum berkhidmat untuk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) pada tahun 2014.

Buat kali terakhirnya sebagai jurulatih, Allahyarham kembali berkhidmat dalam Liga M, menjadi ketua jurulatih kepada pasukan Felcra FC yang bersaing dalam liga divisyen ketiga Malaysia, Liga FAM dan meraih tempat ketujuh dalam kumpulan A musim ini.

Sepanjang 25 tahun Allahyarham menjadi jurulatih, antara pencapaian terbaiknya adalah bersama dengan Kedah apabila menjadi juara berganda Liga Divisyen 1 dan Piala Malaysia pada tahun 1993, juara Liga Divisyen 2 dan naib juara Piala Malaysia pada tahun 1992, juara Piala FA dan naib juara Liga Divisyen 1 pada tahun 1996 dan naib juara Liga Divisyen 1 pada tahun 1998.

Bersama-sama dengan pasukan Kedah. Photo: Facebook Penyokong Setia Skuad Kedah
Bersama-sama dengan pasukan Kedah. Photo: Facebook Penyokong Setia Skuad Kedah

Ianya satu kehilangan yang besar buat bola sepak negara. Allahyarham telah banyak berjasa kepada pembangunan bola sepak Malaysia. Semoga Allahyarham ditempatkan dengan orang-orang yang beriman.

Other posts by