Gol sendiri yang dijaringkan pemain Kelantan, Noor Hazrul Mustafa menghadiahkan kemenangan penting buat pasukan Selangor setelah berjaya menewaskan Kelantan 1-0 dalam saingan Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan.
Kemenangan berharga itu melonjakkan Selangor ke tangga pertama dalam Kumpulan C dengan tujuh mata, diikuti Felda United di tempat kedua dengan enam mata, Kelantan di tempat ketiga dengan empat mata dan T-Team di tempat keempat dengan tiga mata.
Kedua-dua pasukan pada mulanya mempamerkan corak permainan yang agak perlahan dan mempunyai kesukaran untuk membentuk corak serangan akibat terlalu banyak kekasaran yang dilakukan.
Selangor mendominasi serangan pada separuh masa pertama menerusi beberapa larian pantas daripada Andik Vermansah namun gagal menemui sebarang jaringan.
Kelantan juga cuba menyusun serangan ke arah kubu pertahanan Selangor namun kebanyakannya hanya percubaan menerusi sepakan penjuru dan sepakan jarak jauh.
Andik terus mengucar-ngacirkan pasukan pihak lawan dan akhirnya membuahkan hasil apabila dia berjaya mengumpan bola ke arah Nazmi Faiz Mansor yang membuat hantaran jauh ke bahagian tengah kotak penalti tetapi Hazrul yang sepatutnya mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya, tertampan bola ke gawang sendiri, memberikan Selangor peluang untuk mendahului 1-0 pada minit ke-17.
Kelantan nampaknya turut mempunyai masalah komunikasi apabila dua pertahanannya, Nik Shahrul Azim dan Amiridzwan Taj bertembung antara satu sama lain ketika masing-masing mahu mengeluarkan bola.
Wan Zack Haikal adalah antara beberapa pemain Kelantan yang paling banyak melakukan percubaan ke gawang gol, malah percubaannya dari sepakan percuma sebelum tamatnya separuh masa pertama hampir menerjah ke jaring gol namun berjaya ditepis oleh Norazlan Razali.
Kelantan menggandakan asakan pada separuh masa kedua apabila Zahasmi memasukkan penyerang Erwin Carrillo untuk cuba mendapatkan gol penyamaan.
Kekasaran demi kekasaran semakin menjadi-jadi dan Kelantan hampir melakukan kesilapan besar apabila Amiridzwan Taj melakukan kekasaran terhadap Guilherme de Paula dalam kotak penalti namun tidak diendahkan pengadil perlawanan.
Selangor juga bernasib baik apabila Bunyamin Umar melakukan terjahan merbahaya dengan menggunakan kedua-dua belah kaki terhadap kapten pasukan Kelantan, Badhri Radzi namun dia hanya menerima satu layangan kad kuning.
Kelantan semakin menguasai perlawanan apabila lebih banyak percubaan yang dilakukan ke arah gawang gol Selangor.
Antaranya percubaan jarak jauh yang dilakukan Wan Zack namun sedikit tersasar.
Badhri Radzi juga hampir menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan percuma namun sekali lagi ditepis dengan cemerlang oleh Norazlan Razali.
Carrillo turut mempunyai peluang di hadapan gawang gol namun mengambil masa yang terlalu lama untuk melakukan sepakan.
Walaupun Kelantan banyak kali mengasak untuk mendapatkan gol penyamaan, namun Selangor berjaya bertahan sehingga ke wisel penamat.
Terlalu banyak kesilapan yang mudah dilakukan oleh pasukan Kelantan, malah hantaran bola yang kurang bermaya serta penyudah yang tumpul menjadi punca utama mengapa pasukan dari Pantai Timur itu gagal menembusi gawang gol pasukan Selangor.
Other posts by Omar Zin