Football

Pencarian jurulatih Malaysia makin rancak

Jawatan kosong jurulatih bola sepak kebangsaan kembali hangat diperkatakan dengan pelbagai calon yang telah diutarakan oleh peminat bola sepak tanah air yang dianggap sesuai untuk membimbing pasukan Harimau Malaya.

Seorang ejen bola sepak tempatan dan antarabangsa baru-baru ini mendedahkan, terdapat beberapa jurulatih yang berminat untuk menjadi jurulatih negara dan ada yang sudah menghantar permohonan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), termasuk bekas pemenang juara Piala Dunia 1998, Marcel Desailly.

Selain Desailly, terdapat beberapa nama lain yang dikatakan sudah memohon jawatan negara antaranya bekas jurulatih Johor DT, Bojan Hodak, bekas jurulatih Kelantan George Boateng dan bekas jurulatih kelab India Bengaluru FC Ashley Westwood.

“Sebaik FAM mengiklankan jawatan itu, ejen Desailly terus menghantar permohonan kepada FAM.

“Saya juga dimaklumkan ketika ini ada tiga calon popular iaitu Bojan, Boateng dan Desailly yang dikatakan sudah menghantar permohonan kepada FAM bagi jawatan jurulatih pasukan Malaysia. Westwood juga mungkin sudah menghantar permohonannya.

“Manakala PhillipeTroussier pula tidak mahu mengendalikan mana-mana pasukan dalam tempoh terdekat ini atas sebab-sebab kesihatan,” kata ejen itu kepada Harian Metro ketika ditanya mengenai status Troussier.

Jawatan jurulatih Harimau Malaya ketika ini dipegang oleh jurulatih Bawah-23 negara, Ong Kim Swee yang akan membimbing skuad negara untuk baki saingan kelayakan Piala Dunia 2018 sehingga hujung tahun ini.

PANDANGAN KAMI?

Mencari jurulatih yang sesuai untuk pasukan negara adalah perkara yang sukar. Setiap peminat mempunyai citarasa yang berbeza dan FAM juga mempunyai citarasa yang berbeza. FAM sendiri mengalami kesukaran untuk mencari jurulatih yang berkaliber untuk menggantikan K. Rajagobal sejak dua tahun yang lalu. Desailly ada sijil jurulatih tetapi tiada pengalaman, Bojan pula sangat berpengalaman dalam arena bola sepak Malaysia tetapi kurang pengalaman peringkat antarabangsa, Boateng juga lebih kurang sama seperti Desailly. Ada beberapa calon yang bagus sebenarnya tetapi semua ini akhirnya bergantung kepada FAM sama ada mereka mempunyai cita-cita yang tinggi, sanggup mencari sendiri jurulatih yang berwibawa demi bola sepak negara ataupun sekadar terus mahu menjadi juara kampung. Kita cuma boleh berharap yang FAM membuat keputusan yang bijak memilih jurulatih yang boleh meningkatkan kembali imej bola sepak negara, kerana ini adalah perkara yang sangat dinanti-nantikan peminat bola sepak negara selama ini.

Other posts by