Football

FMLLP, FAM harus fokus bantu Liga M, bukan rasuah atau rusuhan – TMJ

Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata tugas Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) tidak sepatutnya fokus kepada rasuah dan keganasan dalam bola sepak.

Ini berikutan kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FMLLP, Kevin Ramalingam tentang kempen membanteras gejala rasuah mengatur perlawanan serta rusuhan dalam kalangan penyokong tempatan yang akan dilancarkan pada tahun depan sebaik sahaja Liga Malaysia diswastakan.

Beliau berkata FMLLP sepatutnya memikirkan bagaimana mereka akan mengagihkan pendapatan yang diterima daripada hak penyiaran perlawanan kepada pasukan-pasukan yang bertanding.

“Masih banyak pasukan yang belum bersedia. Tanggungjawab FAM dan para penajanya adalah untuk membantu pasukan-pasukan yang bertanding di Malaysia, bukannya membanteras rasuah dan keganasan, itu bukan kerja mereka, itu kerja pihak berkuasa.

“Walaupun setiap pasukan mempunyai tanggungjawab untuk mencari dana mereka sendiri, duit daripada hak penyiaran boleh membantu pasukan untuk kekal berdaya saing serta membangunkan program untuk bakat-bakat muda.

“Dana dari hak penyiaran ini juga boleh digunakan untuk mengurangkan beban setiap pasukan terutamanya kepada pasukan yang mempunyai masalah tajaan,” katanya dalam satu sidang media di Larkin, semalam.

Beliau turut berharap FMLLP dan FAM dapat membuat penerangan secara terperinci kepada semua pasukan yang bertanding terhadap aspek-aspek penswastaan liga dalam masa terdekat. – Bernama

Other posts by