Football

Mengapa Annuar Musa sedang menyusahkan Kelantan FA

Written by Keeshaanan Sundaresan
Translated by Omar Zin

Cuba fikir sejenak. Melihat dari satu sudut, kita ada Johor DT – pasukan yang mempunyai kewangan yang kukuh dan satu-satunya pasukan yang sentiasa mencipta sejarah bola sepak Malaysia.

Jika dilihat dari satu lagi sudut, anda ada Kelantan FA (KAFA) – pasukan yang pernah mendominasi bola sepak tanah air, tetapi kini telah dihambat dengan krisis kewangan.

KAFA masih belum membayar para pemainnya selama hampir tiga bulan, walaupun Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa sering memberikan jaminan awal. Namun ia telah sampai pada satu tahap di mana para pemain mula mendedahkan situasi mereka secara sarkastik di media sosial terhadap pihak pengurusan. Tetapi kita tidak boleh salahkan mereka.

Photo Credit: newmalaysianpost.com
Photo Credit: newmalaysianpost.com

Pada masa yang sama, mereka juga sedang menghadapi masalah dengan bekas ketua jurulatih Steve Darby – mereka mempunyai hutang sebanyak RM630,000 selepas bersetuju untuk menamatkan kontraknya pada April 2014. Wang pampasan untuk Azraai Khor Abdullah dan Obinna Nwaneri juga masih belum dilangsaikan.

Namun di tengah-tengah krisis kewangan yang melanda KAFA, Tan Sri Annuar Musa telah membuat satu kenyataan kontroversi semasa ‘ Himpunan Rakyat Bersatu ‘ semalam. “Perkauman adalah perkara yang dituntut dalam Islam, selagi mana tidak melakukan kezaliman pada orang lain. Perhimpunan ini kalau kata perkauman, saya jawab ya memang betul. Apa nak takut?”

Saya serahkan kepada pakar-pakar politik, wartawan, pakar-pakar agama dan ulama-ulama untuk mengkaji kenyataannya secara logik (bukannya ianya tidak dilakukan langsung di media sejak 12 jam yang lalu) jadi mari kita lihat perkara ini dari sudut kesukanan.

Photo Credit: KAFA
Photo Credit: KAFA

Jika sekali imbas, ianya mungkin kelihatan seperti satu lagi kenyataan taksub yang berbaur perkauman. Tetapi ini adalah satu koleksi buah mulut semua orang untuk membentuk satu tanggapan mereka terhadap TSAM, yang juga mempunyai kaitan langsung dengan persepsi mereka terhadap KAFA. Siapakah orang-orang ini sekali lagi? Saya , anda, dan seluruh individu yang mewakili syarikat-syarikat multinasional (MNC) serta jenama korporat besar di luar sana.

2016 merupakan tahun yang penting buat bola sepak Malaysia kerana liga-liga tempatan akan mula diswastakan, bermakna pasukan-pasukan bola sepak perlu mula beroperasi sebagai syarikat swasta, dengan keperluan untuk menjana keuntungan sendiri demi memastikan kelancaran beroperasi. Sudah tentu, proses ini akan mengambil masa selama beberapa peringkat, supaya setiap pasukan mempunyai peluang untuk membiasakan diri dengan perubahan tersebut, tetapi suka atau tidak, mereka perlu mula memberikan tumpuan kepada membentuk kerjasama dengan ahli korporat.

Tetapi sekarang timbul pula tanda tanya berkenaan dengan keupayaan KAFA untuk menarik jenama-jenama besar, selepas kenyataan ‘ perkauman ‘ TSAM itu, semalam. Usah kita bercakap pun tentang kesahihan fakta atau kata-kata retorik beliau. Dari perspektif perniagaan itu sendiri, ia adalah satu kenyataan yang tidak patut dibuat. Para pemimpin sesebuah organisasi bertanggungjawab ke atas kenyataan-kenyataan yang dibuat, dan ia biasanya membawa kesan yang mendalam terhadap organisasi mereka sendiri.

Photo Credit: Asiana.my
Photo Credit: Asiana.my

Fungsi penaja korporat bukan sekadar menjadi rakan kongsi dengan mereka. Ianya menunjukkan bahawa terdapat nilai dalam bola sepak tempatan dan juga nilai dalam jenama pasukan bola sepak kita. Mengapa perlu jenama korporat mengaitkan diri mereka dengan organisasi yang mempunyai pemimpin yang bersifat perkauman? Pasukan itu mungkin pasukan yang kuat, mempunyai reputasi yang tinggi dalam arena bola sepak tempatan. Tetapi perlu diingat, dunia perniagaan juga adalah tentang persepsi.

Tradisinya, kebanyakan syarikat MNC telah menjauhkan diri daripada pasukan Malaysia kerana wujudnya sikap kurang profesionalisme. Satu perbualan baru-baru ini bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail mendedahkan bahawa terdapat beberapa pasukan Malaysia yang masih lagi tidak mempunyai sebuah jabatan media sendiri, yang boleh dijadikan sebagai medan rujukan dengan segera. Ia mengambil masa yang lama untuk berhubung dengan beberapa pasukan tersebut. Pengarah Teknikal FAM Fritz Schmid juga mengeluarkan sentimen yang serupa: “Kami sedang bergerak ke arah penswastaan, tetapi kebanyakan pasukan Malaysia tidak mempunyai sebarang struktur perniagaan yang asas, ” katanya.

Sebaliknya, lihatlah JDT. Ia bukanlah perkara yang sukar untuk difahami mengapa banyak syarikat berlumba-lumba mahu menjadi rakan kongsi dengan mereka. Selain mempunyai reputasi tinggi dari segi profesionalisme di Malaysia, dan mungkin juga Asia Tenggara, keupayaan TMJ untuk menyinar dari segi kelebihan moral (moral high ground) telah memainkan peranan yang sangat penting. Baginda sentiasa menyuarakan pendapat mengenai isu-isu yang berkaitan dengan peminat-peminatnya, dan berjaya mencipta reputasi ‘ wira yang disegani ‘ untuk dirinya sendiri – suatu konotasi positif yang digemari oleh jenama-jenama terkemuka.

536337_418035041550676_204276899593159_1410412_2126947418_nBaiklah, KAFA masih mempunyai peluang untuk menjana pendapatan daripada Piala Malaysia. Mereka juga bakal menjana pendapatan daripada hak perjanjian TV yang baru, yang akan bermula tahun depan. Khabar angin juga mengatakan bahawa mereka mungkin akan menjual beberapa pemain bergaji tinggi untuk meringankan beban pasukan.

Tetapi untuk terus berkembang sebagai sebuah kelab bola sepak, pendapatan pasukan perlulah sentiasa meningkat. Untuk memperkasakan sistem pembangunan belia yang kukuh, ia memerlukan satu perbelanjaan yang besar. Untuk tingkatkan prasarana untuk pemain, ia memerlukan satu perbelanjaan yang besar. Untuk menarik perhatian pemain terbaik untuk datang dan bermain untuk pasukan, ia juga memerlukan satu perbelanjaan yang besar.

Ianya satu situasi yang sedih sebenarnya. Untuk satu pasukan yang telah berjaya serta dikagumi ramai sejak beberapa tahun kebelakangan ini, melihat mereka kini dibelenggu dengan krisis kewangan merupakan satu perkara yang mengecewakan. Tetapi apa yang lebih mengecewakan ialah apabila pihak pengurusan dan pemimpin kelab, membuat keputusan dan mengeluarkan kenyataan, tanpa mengambil kira kebajikan pasukan itu sendiri.

Photo Credit: Goal
Photo Credit: Goal

Sudahlah ianya cukup sukar untuk berhubung dengan warga korporat, kenyataan TSAM akan membuatkannya lebih sukar untuk KAFA membentuk hubungan dengan warga korporat. Lebih buruk lagi, ia akan terus mempengaruhi persepsi ramai terhadap situasi liga tempatan – zalim, tidak matang dan ia menjadi medan buat sekumpulan individu yang kurang sensitif.

Mungkin ianya kedengaran seperti terlalu diperbesar-besarkan, tetapi kita tidak boleh menyalahkan mereka, apabila sikap kurang profesionalisme sering ditonjolkan oleh individu-individu yang sepatutnya melindungi dan membantu pembangunan bola sepak Malaysia.

Other posts by