Football

Lima lagi penyokong Ultras Malaya ditahan

Pihak polis telah menahan lima lagi suspek yang terlibat dalam rusuhan semasa perlawanan kelayakan Piala Dunia di antara Malaysia dengan Arab Saudi di Stadium Shah Alam pada 8 September yang lalu.

Ini berikutan kekalahan 10-0 kepada pasukan Emiriah Arab Bersatu di Abu Dhabi awal bulan ini yang mana pasukan Malaysia serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menerima pelbagai kritikan dan ejekan dari seluruh dunia kesan daripada keputusan yang memalukan itu.

Ketua polis Shah Alam ACP Shafien Mamat berkata, suspek yang berusia dalam lingkungan 24 hingga 33 tahun itu ditahan di sekitar Shah Alam, Banting dan Klang.

“Tiga daripadanya telah ditahan semalam (Selasa) manakala dua lagi ditahan hari ini (Rabu). Antara lima suspek terbabit, dua daripadanya merupakan adik-beradik yang dikenali sebagai ‘Tok Anjang’ dan ‘Shap’ dan mereka berdua ini dipercayai dalang kepada kejadian rusuhan yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Dalam kejadian rusuhan yang lalu, penyokong-penyokong Ultras Malaya bertindak membaling suar, bom asap serta melepaskan bunga api ke dalam padang memaksa para pemain dan jurulatih kembali ke bilik persalinan atas faktor keselamatan.

Rusuhan tersebut menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan pada minit ke-88 dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berdepan dengan risiko digantung oleh Gabungan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).  -Bernama

Other posts by