Football

Pihak polis dan stadium tidak boleh digantung – Khairy

Pihak polis atau pihak stadium tidak boleh digantung kerana kuasa Pesuruhjaya Sukan hanya untuk persatuan sukan kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Ini berikutan reaksi daripada Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mencadangkan supaya pihak polis dan pihak stadium digantung kerana gagal mengawal rusuhan yang menyebabkan perlawanan kelayakan Piala Dunia di antara Malaysia dengan Arab Saudi terpaksa dihentikan pada minit ke-88 di Stadium Shah Alam, minggu lalu.

Jelas Khairy, Pesuruhjaya Sukan tidak mempunyai kuasa untuk menghukum pihak polis mahupun pihak stadium seperti yang disarankan Presiden FAM.

“Pihak polis boleh dipersalahkan tetapi kuasa Pesuruhjaya Sukan hanya terhad untuk persatuan sukan.

“Sama juga dengan FAM. Jika ada penyokong membuat kacau sewaktu perlawanan berlangsung seperti membaling suar ke dalam stadium, mereka tidak boleh denda ataupun gantung pihak polis.

“Tetapi perlu diingat, tanggungjawab penyelarasan itu adalah kepada persatuan sukan itu sendiri dan kita hanya boleh meminta pihak polis meningkatkan lagi prestasi mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas pelancaran My Rapid Challenge dan flag off bus wrap Rapid KL-Hari Sukan Negara di sini, semalam.

Pertemuan akan diadakan antara Pesuruhjaya Sukan dengan FAM sebaik sahaja persatuan bola sepak negara itu membalas surat tunjuk sebab yang diberikan sebelum ini.

Other posts by