Ketua jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang percaya skuad terjun negara kali ini akan lebih mantap di Olimpik Rio berbanding skuad Olimpik London.
Baru-baru ini, skuad terjun negara berjaya menempah tiga lagi slot ke Rio 2016 menerusi Ooi Tze Liang dalam acara 3 meter papan anjal dan 10m platform individu lelaki manakala Nur Dhabitah Sabri mengungguli dalam acara 10m platform individu wanita di temasya Terjun Piala Asia, kelmarin.
Yang Zhuliang turut berharap Malaysia mampu meraih lebih banyak slot ke Olimpik, terutamanya dalam acara terjun seirama dalam Kejohanan Dunia, tahun depan.
“Barisan penerjun Malaysia kali ini lebih bagus dan mantap berbanding Sukan Olimpik London, malah saya yakin lebih ramai penerjun akan melayakkan diri untuk tahun depan.
“Kami juga tidak hanya mensasarkan untuk jumlah penyertaan, tetapi juga meletakkan sasaran untuk membawa pulang pingat.
“Saya turut berpuas hati dengan prestasi semua penerjun utama setakat ini. Mereka sudah mempamerkan aksi yang terbaik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Secara keseluruhan, Malaysia telah menempah lima slot ke sukan Olimpik Rio dengan dua lagi diperoleh menerusi Pandelela Rinong dalam acara 10m platform individu wanita dan Ng Yan Yee dalam acara 3m papan anjal individu wanita.
Other posts by Omar Zin